Saturday, January 28, 2012

Aktiviti Sains : "Poliklipkertas"


Pengenalan 

Cubalah aktiviti mudah ini sebagai set induksi untuk memperkenalkan pelajar anda tentang konsep polimer. Apa yang anda perlukan hanyalah klip kertas dan pelajar yang sanggup menyahut cabaran poliklipkertas terpanjang!

Apakah yang diperlukan?

Klip kertas

Apakah yang perlu dilakukan?

1. Bahagikan pelajar kepada dua kumpulan.

2. Setiap kumpulan diberikan beberapa kotak klip kertas yang mengandungi satu jenis klip kertas sahaja.

3. Guru akan memberikan arahan kepada pelajar untuk menyambungkan klip-klip kertas itu sepanjang yang mungkin dalam masa 3 minit. Masa yang diberikan ini terpulang kepada budi bicara guru.

4. Kumpulan yang dapat membuat sambungan klip kertas yang terpanjang di dalam masa yang diberikan diisytiharkan sebagai pemenang.

Pengisian Sains

Polimer (polymer) ialah rantai molekul panjang yang terdiri daripada molekul-molekul kecil (monomer) yang bersambungan. Contoh-contoh polimer ialah kanji, protein, plastik dan nilon.

Monomer (monomer) ialah molekul kecil yang bergabung membentuk polimer. Contoh-contoh monomer ialah glukosa, asid amino, etena dan kloroetena.

Pempolimeran (polymerisation) adalah proses penggabungan molekul-molekul kecil (monomer) untuk membentuk rantai molekul panjang (polimer).

Penyahpolimeran (depolymerisation) adalah satu proses penguraian molekul polimer kepada monomer-monomernya. Penyahpolimeran boleh dijalankan secara tindakan haba atau tindakan enzim.

Terdapat dua jenis polimer iaitu polimer asli dan polimer sintetik. Polimer asli ialah jenis polimer yang dihasilkan secara semula jadi oleh benda hidup iaitu tumbuhan dan haiwan. Contoh-contoh polimer asli termasuklah protein (monomer : asid amino), lemak (monomer : asid lemak dan gliserol), kanji (monomer : glukosa), selulosa (monomer : glukosa) dan sutera.

Polimer sintetik pula ialah jenis polimer yang dibuat oleh manusia melalui tindak balas kimia. Gentian sintetik, getah sintetik atau getah stirena butadiena yang juga dikenali sebagai SBR (monomer : stirena dan butadiena) adalah contoh-contoh polimer sintetik. 

Pelbagai jenis plastik juga adalah contoh-contoh polimer sintetik. Ini termasuklah perspeks (monomer : metil metakrilat), polivinil klorida atau PVC (monomer : kloroetena) dan politena (monomer : etena).

Tahukah anda?

Rambut dan bulu haiwan terbina daripada sejenis protein (polimer) yang disebut keratin. 

Sutera ialah satu contoh gentian asli yang dihasilkan oleh ulat sutera.

 Kapas juga adalah satu polimer gentian asli. Kanji dan selulosa ialah contoh bagi karbohidrat.

Cubalah!

Jika anda mempunyai lebih masa, cubalah aktiviti lanjutan ini. Selepas pelajar menghasilkan polimer yang terpanjang cuba minta mereka hasilkan pula polimer yang menunjukkan cross-linking. Guru boleh menyediakan pelbagai bahan supaya ada nampak perbezaan antara monomer poliklipkertas (monomernya ialah klip kertas) dan juga agen cross-linking (klip berlainan warna atau klip saiz besar).

Kurikulum Sekolah

Form 5 Science / Carbon Compounds - Sebatian Karbon / Polymer - Polymer

Form 4 Chemistry / Manufactured Substances in Industry - Bahan Buatan Dalam Industri / Synthetic Polymers and Their Uses - Menilai Penggunaan Polimer Sintetik

Photo credit:

http://www.digitaldesktopwallpaper.com/wallpapers/digitalwallpapers/1024x768/paper-clips-001.jpg

http://www.reading.ac.uk/scienceoutreach/images/equations/polytable.gif

http://www.eflytyer.com/Images/materials/feathers/feathers2.gif

http://cache2.artprintimages.com/lrg/29/2910/5GSPD00Z.jpg

http://cache2.artprintimages.com/p/LRG/21/2149/DB3CD00Z/art-print/david-beatty-cotton-picking-ferghana-valley-uzbekistan-central-asia.jpg

http://www.cartoonstock.com/lowres/rjo1093l.jpg

No comments:

Post a Comment