Sunday, January 22, 2012

Aktiviti Sains : "Buruj Sticky Dot"

Pengenalan


Salah satu kaedah yang terbaik untuk mempelajari tentang buruj ialah melalui pencerapan bintang atau star-gazing. Walau bagaimanapun, faktor-faktor seperti cuaca, awan tebal dan pencemaran udara tidak membolehkan kita untuk melihat bintang yang cerah di langit malam. Aktiviti ini ialah salah satu aktiviti yang mudah dan membolehkan pelajar mengenali dan mengingati pola buruj. Apabila keadaan mengizinkan untuk kita mencerap bintang, pasti kita akan lebih bersedia!

Apakah yang diperlukan?

1. Kertas sugar paper atau construction paper berwarna hitam

2. Pelekat atau sticker bukat pelbagai warna (kuning flourescent pilihan yang terbaik!)

3. Pen penanda mata halus berwarna perak (warna emas pun menarik!)

Apakah yang perlu dibuat?

1. Minta pelajar untuk melakarkan bentuk atau pola buruj di atas kertas sugar paper. Guru boleh membantu pelajar sama ada dengan menunjukkan contoh di hadapan kelas atau membuat pola yang tersedia pada kertas yang diberikan kepada pelajar.

2. Pelajar kemudiannya diminta melekatkan sticker mengikut lakaran yang dibuat.

Pengisian Sains

Buruj merupakan sekumpulan bintang-bintang yang membentuk suatu imej atau corak di langit. Bintang-bintang memancarkan cahaya yang sangat terang dan menyebabkan ia boleh dilihat dari Bumi.

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah menjumpai sejumlah 88 buruj. Anggaplah 88 buruj ini "kawasan-kawasan" di cakerawala sama seperti (lebih kurang) 196 negara-negara di Bumi (sehingga Julai 2011).

Empat buruj yang paling terang di antara buruj-buruj lain adalah; Buruj Biduk atau Big Dipper, Buruj Belantik atau Orion, Buruj Pari atau Southern Cross dan Buruj Skorpio atau Scorpion. Di bawah adalah imej mengikut turutan:

Kita tidak boleh melihat kesemua buruj pada masa yang sama. Ini adalah kerana kedudukannya yang sentiasa berubah disebabkan putaran Bumi pada paksinya dan pergerakan Bumi mengelilingi matahari.

Berikut ialah contoh-contoh "Buruj Sticky Dot" yang dipamerkan di sebuah seminar Sains Angkasa dan Astronomi yang diadakan di Sarawak pada tahun 2009.

Buruj Belantik
Buruj Sagittarius
Buruj Skorpio
Buruj Biduk
Buruj Cassiopeia

Buruj Pari

Tahukah anda?

Bintang kelihatan putih bersinar dengan sekali pandang. Tetapi, jika kita melihat dengan teliti, kita boleh melihat pelbagai warna: biru, putih, merah dan juga jingga keemasan! 

Pada buruj Belantik sahaja, kita boleh melihat perbezaan yang agak ketara di antara Betelguese yang berwarna merah jika dibandingkan dengan Bellatrix dan juga Rigel yang berwarna biru. Mengapakah ada perbezaan warna pada bintang-bintang ini?

Suhu menentukan warna bintang. Bintang berwarna merah adalah bintang yang "sejuk" dan mempunyai suhu sekitar 3,000 kelvin (K) atau 2,727 darjah Celsius. Bintang berwarna biru pula adalah bintang yang "panas" dan mempunyai suhu lebih daripada 30,000 K atau 29, 727 darjah Celsius. Suhu matahari kita yang berwarna kuning pula mempunyai suhu yang menyelesakan iaitu 6,000 K atau 5,727 darjah Celsius. Untuk anda mudah mengingati yang mana panas dan yang mana sejuk, ingat sahaja api biru itu panas dan api kuning itu tidak sepanas biru!

Di bawah ini disenaraikan beberapa bintang tercerah di cakerawala mengikut kecerahan berserta warnanya di langit malam. Ini baru lima belas sahaja, masih ada bertrilion lagi yang tidak disenaraikan di sini!

1. Sirius (Alpha Canis Majoris), biru

2. Canopus (A. Carinae), kuning

3. Alpha Centauri, kuning

4. Arcturus (A. Bootis), jingga

5. Vega (A. Lyrae), biru

6. Capella (A. Aurigae), kuning

7. Rigel (Beta, Orionis), biru

8. Procyon (A. Canis Minoris), kuning

9. Archenar (A. Eridani), biru

10. Hadar (B. Centauri), biru

11. Betelguese (A. Orionis), merah

12. Altair (A. Aquilae), biru

13. Aldebaran (A. Tauri), jingga

14. Acrux (A. Crucis), biru

15. Antares (A. Scorpii)

Cubalah!

Sebagai aktiviti lanjutan, gunakan sticker saiz besar untuk menunjukkan bintang yang paling cerah pada buruj tersebut. Contohnya, bintang Antares pada Skorpio atau Scorpio, bintang Rigel dan bintang Betelguese pada buruj Belantik atau Orion.

Guru juga boleh menggunakan sticker berlainan warna untuk menunjukkan bintang yang kelihatan berwarna seperti bintang Antares pada Skorpio (jingga kemerahan), bintang Rigel (biru) dan bintang Betelguese pada buruj Belantik.

Kurikulum Sekolah

Year 5 / Investigating the Earth and the Universe / Constellations (Buruj)

Selamat mencuba!

Photo credit:

Nor Azhar Ishak Personal Photo Collection

http://my.execpc.com/60/B3/culp/astronomy/fig/BigDipper.gif

http://apod.nasa.gov/apod/image/0302/orion_spinelli_c1.jpg

http://apod.nasa.gov/apod/image/0705/southernCross_beletsky.jpg

http://www.sciencephotogallery.com/image/scorpius_constellation_1694721.jpg

No comments:

Post a Comment